Lelaki saman Indonesia RM428.8 juta

Kepala Batas: Seorang ahli perniagaan membuat laporan polis dan akan menyaman kerajaan Indonesia sebanyak AS$100 juta ((RM428.8 juta) kerana menyebabkan jerebu di negara ini.

M Gunasekaran, 52, berkata, laporan dibuat di Balai Polis Kepala Batas, petang kelmarin kerana kecewa terhadap kerajaan Indonesia dalam menangani kebakaran di Sumatera yang turut menjejaskan kualiti udara di Malaysia.

Beliau berkata, keadaan berjerebu menyukarkan dia dan ahli keluarganya untuk bernafas dengan selesa, sekali gus menyebabkan aktiviti di luar rumah terjejas.

“Keadaan kesihatan saya dan keluarga terjejas teruk selepas jerebu melanda dan kerajaan Indonesia perlu memberi pampasan seperti yang saya tuntut.

“Akibat jerebu juga pendidikan tiga orang saya berusia 14 hingga 18 tahun terganggu kerana sekolah terpaksa ditutup.

“Saya akan memfailkan saman berkenaan di Mahkamah Antarabangsa dan berharap akan menang dalam kes ini bagi memberi pengajaran kepada kerajaan Indonesia supaya kejadian sebegini tidak berulang lagi selain mempunyai cara penyelesaian yang lebih baik,” katanya yang berasal dari Sungai Petani, Kedah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Azmi Adam mengesahkan menerima laporan daripada lelaki terbabit.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/87405?m=1#sthash.mcGveSMa.dpuf


Tag : NASIONAL
0 Komentar untuk "Lelaki saman Indonesia RM428.8 juta"

Back To Top