Kelantan haram vape 1 Januari 2016

PETALING JAYA: Kerajaan Kelantan memutuskan tidak mengeluarkan sebarang lesen penjualan rokok elektronik atau vape, berkuatkuasa 1 Januari tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Ab Fattah Mahmood, berkata keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat Jawatankuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bersama Jabatan Kesihatan negeri dan beberapa agensi kerajaan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kota Darulnaim pada Rabu, lapor Berita Harian.

Kerajaan negeri akan mengeluarkan notis selama 14 hari mulai hari ini kepada semua peniaga vape supaya mengosongkan premis mereka daripada penjualan vape, katanya.

“Kerajaan negeri menerima pelbagai pandangan berhubung penggunaan vape dan ia lebih kepada kesan negatif terutama kepada kesihatan.

“Oleh itu, mesyuarat hari ini mengarahkan PBT tidak mengeluarkan lesen berkaitan penjualan vape selepas kita mengambil pandangan daripada pelbagai pihak seperti Jabatan Kesihatan, polis dan Jabatan Mufti,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa PBT mengenai penjualan vape.

Mengenai kegiatan penjualan vape secara bebas selepas 1 Januari tahun depan, Ab Fattah berkata, tindakan tegas akan diambil oleh PBT termasuk merampas vape.

“Jika mereka masih berdegil menjual vape, kita akan membuat sitaan ke atas barang jualan mereka,” katanya.

kredit kepada FMT

Tag : NASIONAL
0 Komentar untuk " Kelantan haram vape 1 Januari 2016"

Back To Top