Gelaran Datuk Seri Khir Toyo ditarik balik.



SHAH ALAM 23 Okt. – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik balik darjah kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) kelas pertama yang membawa gelaran Datuk Seri yang diberikan kepada bekas Menteri Besar, Dr. Mohamad Khir Toyo berkuat kuasa 30 September lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, keputusan itu diambil selepas Mahkamah Persekutuan pada 22 September lalu mengekalkan dan mengesahkan sabitan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara selama setahun terhadap Mohamad Khir kerana mendapatkan untuk beliau dan isteri dua lot tanah dan sebuah banglo bernilai jutaan ringgit, lapan tahun lalu.

“Memandangkan Mohamad Khir didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman, maka beliau adalah seorang yang tidak lagi layak dan sesuai untuk memegang darjah kebesaran itu.

“Justeru, beliau dilarang daripada menggunakan darjah kebesaran itu dan begitu juga kepada mana-mana pihak lain memandangkan ia telah ditarik balik selaras dengan kuasa baginda di bawah Perkara 39 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri 1959,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammed Khusrin memberitahu, Sultan Sharafuddin memandang berat reputasi penerima darjah kebesaran terutamanya dalam kalangan pemimpin yang terlibat dengan perlakuan tiada integriti seperti ra- suah, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa.

“Sultan Selangor turut menasihatkan semua penjawat awam, golongan profesional dan pe- mimpin korporat supaya tidak mudah terpengaruh dengan penyalahgunaan kuasa atau rasuah yang boleh membawa kemusnahan .

“Baginda turut mengingatkan pihak bertanggungjawab agar memastikan langkah wajar dan tindakan tegas dilaksanakan untuk membendung gejala rasuah, pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan amalan tiada integriti,” jelas- nya.

Mahkamah Persekutuan pada 22 September lalu menolak rayuan Mohamad Khir terhadap sabitan atas kesalahan mendapatkan untuk beliau dan isteri dua lot tanah dan sebuah banglo bernilai jutaan ringgit, lapan tahun lalu.

Panel lima hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, sebulat suara menolak rayuan akhir Mohamad Khir.

Mahkamah tertinggi negara itu turut memerintahkan Mohamad Khir menjalani hukuman penjara setahun bermula 29 September lalu terhadap kesalahan yang dilakukannya.

- See more at: http://m.utusan.com.my/berita/nasional/sultan-selangor-tarik-balik-darjah-kebesaran-khir-1.149984#sthash.IXhHxEyP.dpuf


Tag : NASIONAL
0 Komentar untuk "Gelaran Datuk Seri Khir Toyo ditarik balik."

Back To Top