G25 amat merbahaya Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

PETALING JAYA: Siapa sangka perkumpulan bekas pegawai kanan kerajaan akan dituduh dipengaruhi ajaran sesat seperti Illuminati.

Pendakwah selebriti, Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata ahli kumpulan G25 amat merbahaya jika dibiarkan berleluasa kerana mereka boleh menyesatkan manusia.

“Kenyataan mereka semakin lama, semakin menyesatkan. Peliknya, perkara batil dan jahat tidak pula dibantah. Orang mahu menjadi baik, menjadikan dia marah,” tegas pensyarah itu di dalam blognya, ridhuantee.blogspot.com

Ridhuan berkata demikian mengulas cadangan G25 supaya sebuah jawatankuasa pakar perunding untuk menyelaraskan undang-undang syariah dengan Perlembagaan Persekutuan, antara lain untuk melihat isu ‘moral policing’ seperti undang-undang berkenaan khalwat.

Beliau turut menyifatkan kumpulan itu sebagai jahil, dan menggelar jurucakap G25 Datuk Noor Farida Ariffin sebagai wanita ‘gondol’.

“Si jahil ini banyak terpengaruh dengan ajaran sesat seperti Illuminati dan Freemason, perosak agama. Kumpulan ini mempercayai kepada satu kuasa yang mereka puja. Kuasa itulah yang mereka kenali sebagai ‘tuhan’ atau ‘god’,” kata Ridhuan.

Hubungan Illuminati itu disebut Ridhuan dalam enam ciri-ciri kumpulan G25 yang perlu diketahui umum, dan boleh dibaca di blog beliau.

Untuk makluman, selain G25, antara tokoh-tokoh lain yang pernah dikaitkan dengan ajaran Illuminati termasuk Jay-Z dan Justin Bieber.

Ridhuan menasihatkan agar G25 ini merujuk kepada golongan yang pakar dalam bidang agama sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Terlalu ramai mahu menjadi pakar. Dialah pakar dalam semua bidang, termasuk dalam bidang agama, meskipun sepatah ayat Quran tidak difahami.

“Akibatnya, jika si jahil ini berleluasa, maksiat akan turut bermaharajalela. Maka, akan berpestalah maksiat,” ujarnya.
Kredit kepada FMT
0 Komentar untuk "G25 amat merbahaya Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah"

Back To Top